beri maaflah

Berbagai perasaan anugerah dari Allah amat berguna kepada manusia sendiri, bukan sekadar perasaan sayang dan simpati sahaja, malah perasaan marah juga berfaedah seandainya dipergunakan dalam situasi yang sesuai kerana tanpa perasaan marah mungkin manusia akan menjadi dayus. 

Namun begitu perasaan marah yang tidak terkawal banyak mendatangkan bencana, menyebabkan permusuhan sesama insan. Untuk itu Islam menganjurkan sifat terpuji bagi mengatasi perasaan marah iaitu sifat PEMAAF. Di sisi Islam sifat pemaaf itu mempunyai nilai yang tinggi, oleh itu Islam menganjurkan persaudaraan sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Quran dalam surah Al-Hujrat ayat 10

"Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, oleh itu damaikan lah antara dua saudara mu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat"

Walau bagaimanapun ia tidak mudah untuk dilaksanakan, realiti kehidupan menunjukan permusuhan dan perseteruan terus melanda kehidupan manusia.

Suatu hari Anas bin Malik r.a serta ramai sahabat yang lain duduk disisi; Rasulullah, tiba-tiba mereka melihat Rasulullah tersenyum. Anas merasa hairan, melihat Rasulullah s.aw tersenyum gembira sehingga kelihatan gigi, lalu Anas bertanya? Apakah yang menyebabkan Rasulullah tersenyum gembira?"

Berkata Rasulullah "Yang menyebabkan aku tersenyum ialah kerana ada dua orang dikalangan umatku di akhirat, keduanya datang merangkak di hadapan Allah kerana meminta diselesaikan kes yang melibatkan antara keduanya.

Seorang darinya merayu kepada Allah: Wahai tuhan, berilah balasan terhadap orang ini, sesungguhnya dia amat zalim dan telah menzalimi aku semasa di dunia dahulu.

Lalu Allah memerintahkan orang yang zalim itu membayar ganti rugi sebagai jalan penyelesaian bagi kes mereka berdua, tetapi orang yang zalim itu tidak dapat berbuat demikian kerana tiada satu pun yang boleh dijadikan bayaran. 

Lalu ia berkata: "Dengan apakah aku hendak membayarnya kerana tiada satu pun kebajikan yang tinggal padaku, kesemuanya telah dituntut oleh orang lain. Ketika itu orang yang dizalimi itu minta agar orang yang menzalimi nya itu mengambil kejahatan dan dosa yang ada pada dirinya.

Lantas ketika itu, Rasullullah menitis air mata, Rasullullah menangis mengingati peristiwa mahkamah Allah yang sedang mendengar kes pengaduan kedua ummatnya yang sangat menyayat hati.

Lalu Rasullullah bersabda "Sesungguhnya itulah hari yang amat dahsyat sehingga sampai ke suatu peringkat manusia mencari orang lain untuk memikul akan segala dosanya."

Ketika orang yang dizalimi yang meminta agar orang yang menzaliminya itu memikul dosanya di mahkamah Allah, maka ketika itu Allah s.w.t memperlihatkan sebuah mahligai tersergam didalam syurga

"Tidakkah kamu melihat itu" ujar Allah kepada hambanya yang menuntut keadilan.

"Ya, saya nampak sebuah mahligai didalam sebuah taman dari perak" jawab hamba Allah itu. Kemudian ia bertanya "untuk siapakah mahligai itu?. Maka Allah menyatakan bahawa mahligai itu adalah untuk sesiapa sahaja yang mampu membayar harganya, dan harganya adalah sekiranya manusia sanggup memberi kemaafan kepada orang lain dan tidak menuntut agar dia memikul dosa mu.

Dengan melompat kegembiraan orang itu berkata,"Wahai tuhan aku sanggup untuk memaafkan terhadap saudaraku keatas apa jua kezaliman yang dilakukan terhadapkku".


Lantas Allah memerintahkan malaikat agar membawa orang itu dan mengizinkan bersama saudaranya itu ke dalam mahligai perak yang terbina dalam syurga itu.

Justeru alangkah baiknya jika manusia memahami betapa perlunya seseorang itu mempunyai sifat toleransi dan pemaaf terhadap sesama manusia kerana sifat itu akan mendatangkan kebaikan kepadanya dan kepada orang yang diberi kemaafaan.

0 comments:

Post a Comment