Catatan 1 Syawal

Tuhan, sujudku tak mampu membawaku ke syurga-Mu..
Melainkan rahmat dan belas-Mu jua mengizinkan aku melangkah ke syurga-Mu.


Ya Tuhan, aku kerugian. Saat ini aku benar-benar merasai berada dalam kerugian. Ramadhan telah berlalu. Sungguh aku sebak dan sayu hatiku. Kerana peluang tidak ku gunakan semaksimum mungkin. Pada pandangan kasarku, aku berjaya mendisiplinkan diriku agar tidak ponteng solat subuh berjamaah, bertadabbur pada setiap hari serta meningkatkan kesabaranku. Itu tekadku tatkala 1 Ramadhan menampakkan diri. Tetapi kata-kata Saidina ‘Ali kwjh sentiasa berlegar-legar dibenakku.. ‘Jangan mengira banyaknya ibadah yang kamu lakukan, tetapi perbanyakkan mengira berapa amalan yang diterima Allah.’Tuhanku, apakah ibadahku diterima Engkau? Terimalah amalanku..
Sedih, sedih kerana sepanjang Ramadhan, aku hanya sempat sekali sahaja menunaikan solat sunat tasbih. Sedangkan sepatutnya aku melakukan ia lebih dari itu. Tuhan, bukan sekadar itu, marahku benar-benar cepat naik suhunya. Seorang yang beriman, dia berlemah lembut dengan mukmin, dan berkeras dengan kuffar. Diamku adakala kerana aku benar-benar marah. Tetapi aku masih mencari, tahapan manakah sepatutnya, hingga aku benar-benar tidak tergolong dalam golongan melampaui batas? Kerana aku tahu Engkau tidak suka kepada mereka yang melampaui batas.

Aku kesali. Dan begitulah manusia, yang tidak pernah sesal dan kesal. Tidak pernah belajar dari kesilapan. Sepertimana dalam Al-Qur’an menceritakan, bahawa manusia yang ingkar akan dicampakkan ke neraka. Kemudian mereka sedar dan meminta untuk dikembalikan ke dunia untuk beramal soleh. Tetapi Allah kata, kalau diberi masa 100 tahun sekalipun, manusia akan mengulangi kesalahan yang sama di atas dunia. Ingkarnya manusia. Bebalnya ciptaan yang bergelar manusia. Ada akal, tetapi tidak mahu berfikir. Ada telinga tapi tidak mahu mendengar. Adamata tetapi tidak mahu melihat.


Ya Allah, izinkan aku bertemu dengan Ramadhan akan datang. Benar, aku sesal dengan kealpaanku. Aku sedih. Tetapi tuhan telah memujuk hati-hati hamba-Nya yang beriman dengan menganugerahkan hari kemenangan, hari raya ‘aidil fitri.
Semoga kita kembali kepada fitrah asal kita diciptakan.
1- mengabdikan diri kepada Allah
2- menjadi khalifah di muka bumi 


Salam 'Eidul Fitri.


Mohon maaf.


aisha_musliha

 

0 comments:

Post a Comment